Perak senarai hitam peniaga jual lesen bazar Ramadan

Berita Perak

IPOH: Perak akan mengambil tindakan tegas, termasuk menyenarai hitamkan peniaga yang terlibat menjual lesen perniagaan bazar Ramadan kepada pihak ketiga.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, walaupun tiada laporan berkaitan kegiatan itu tahun lalu, ia akan tetap diberi tumpuan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga memandang serius arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memastikan aspek tatakelola pihak yang meluluskan lesen, dilaksana dengan ketat dan baik.

“Secara umumnya, tidak kira lesen untuk bazar Ramadan atau apa-apa lesen yang dikeluarkan oleh PBT, kita pun terikat dengan hanya pihak yang diluluskan sahaja untuk jalankan perniagaan.

“Dalam menilai kelulusan, memang kita secara spesifik menilai syarat pemohon jadi tidak dibenarkan untuk berlaku kalau nak tukar lesen, jual lesen kepada pihak ketiga dan sebagainya,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media di Pejabat PKR Perak di Ipoh pada Isnin.

Mengulas lanjut, Sandrea berkata, pihak PBT akan memastikan semua pemegang lesen mematuhi segala syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Dalam masa sama, pihaknya turut mengalu-alukan aduan daripada orang ramai sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat mengenainya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan bazar Ramadan yang dijual kepada pihak ketiga.

Tegas Perdana Menteri, penglibatan ejen selaku orang tengah yang ‘memakan’ komisen besar sudah berlarutan saban tahun.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada Isnin, beliau menjelaskan,
situasi itu bukan hanya berlaku di DBKL sahaja malah hampir di semua kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.