Perak SADC, Pak Tam Katering meterai MoU perluas produk halal keluar negara

Berita Perak

IPOH: Perak SADC dan Pak Tam Katering Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi usahasama memperluas dan meningkatkan jangkauan produk agro makanan, produk sedia dimakan dan sejuk beku dengan inovasi produk yang baru ke Arab Saudi, Asia Barat dan pasaran
halal luar negara.

MOU itu telah ditandatangan Ketua
Pegawai Eksekutif Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Pak Tam Katering Sdn. Bhd., Muhammad Shazwan Ruslin sempena Forum Kepimpinan Ekonomi Halal (HELF) 2024 di Riyadh, baru-baru ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad
Suaidi Abdul Rahim, Pengerusi Halal Development Corporation, Khairul Azwan Harun dan selaku dan Pengerusi Security Commission Malaysia Datuk Seri Awang Adek Hussin.

Menurut kenyataan Perak SADC, MoU itu penting bagi meneroka peluang dan manfaat ekonomi yang signifikan termasuk peluang bagi pengusaha pertanian dan pengusaha produk makanan di Malaysia khususnya di Perak.

“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang merupakan peneraju pembangunan pertanian, Perak SADC komited untuk memperluaskan potensi dalam produk agro makanan, produk sedia untuk dimakan dan sejuk beku dengan inovasi produk yang baru sehingga ke peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan di sini, hari ini

Untuk makluman, Pak Tam Katering Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat bumiputera yang mengendalikan katering dan menyediakan perkhidmatan makanan di Selangor, Perak dan telah mengorak langkah menembusi pasaran Arab Saudi.

Sehingga kini Pak Tam Katering Sdn. Bhd. mempunyai 12 cawangan rangkaian restoran termasuk satu di Madinah, Arab Saudi, selain sebuah kilang pemprosesan makanan sejuk beku dan produk sedia di makan.