Perak pandang serius peningkatan kes penganiayaan kaum lelaki

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri Perak memandang serius peningkatan kes penganiayaan terhadap kaum lelaki, termasuk gangguan seksual, sejak kebelakangan ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed, berkata, walaupun bilangannya masih sedikit, tetapi peningkatannya tidak boleh dipandang ringan.

“Bila kita nampak trend semakin meningkat, maknanya kebimbingan itu harus ada.

“Kalau kata trend itu tak meningkat ok, tapi masalahnya, berbanding dengan sebelum-sebelum ini sama ada dia kurang dilaporkan, ataupun perkara itu tidak berlaku kita tak pasti.

“Tetapi apabila kita nampak trend itu makin meningkat dengan 1,000 yang buat laporan maknanya masalah itu sudah mula ada.

“Jadi ia harus tidak boleh dikesampingkan untuk kita bagi tumpuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Bapa peringkat Negeri Perak 2024 di sini, hari ini.

Salbiah berkata, masalah stigma atau taboo dalam masyarakat ialah tidak mahu mendedahkan apa juga masalah dalam keluarga.

“Tetapi sekiranya ia memberi kesan yang tidak baik, saya nasihatkan siapa juga, lelaki ataupun wanita, supaya mencari orang yang boleh memberi nasihat kepada kita, supaya kita tidak ingin mendengar kes-kes yang tidak diingini berlaku dalam masyarakat kita.

“Masalah yang kadangkala yang kita dengar selepas ni ialah kita tidak kongsi masalah itu, ia berlarutan begitu lama sebab tak ada usaha untuk menyelesaikan dan akhirnya diambil tindakan-tindakan yang tidak wajarlah,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan melalui kaunselor Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sentiasa bersedia memberi sesi kaunseling untuk memastikan ketua keluarga berada dalam emosi yang baik dan stabil untuk menjadi orang yang boleh membimbing keluarga.

April lalu, media melaporkan aduan berkaitan gangguan seksual terhadap golongan lelaki semakin meningkat di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian melalui Jerayawara Kasih KPWKM @ Antigangguan Seksual menerima lebih 1,000 aduan gangguan seksual terhadap lelaki membabitkan pelbagai peringkat usia, sejak program itu dilancarkan pada tahun lepas.