MANJUNG: Kematian pasangan suami isteri yang dipercayai di bunuh di kawasan kebun sawit dekat Pantai Remis, di sini, pada Selasa adalah berpunca daripada pendarahan berlebihan akibat luka tetakan dan tikaman.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, penemuan itu adalah hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, hari ini.
“Punca kematian simati adalah disebabkan oleh pendarahan berlebihan akibat luka-luka tetakan dan tikaman,” katanya kepada media pada Rabu.
Terdahulu, ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, di sini, Mohamed Nordin memberitahu, setakat ini polis telah merakam keterangan tiga saksi berhubung kes pasangan suami isteri itu.
Menurutnya, polis turut merampas sabit pengait sawit, yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kes tersebut.
“Ketika sepasukan anggota polis kita sampai kita lihat dua orang, seorang wanita dan seorang lelaki berada di tempat kejadian dalam keadaan luka parah.
“Suspek berlegar-legar di kawasan di situlah dan kita terus buat penahanan pada dia,” katanya.
Pada sebelah pagi Rabu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan seorang lelaki warga emas direman seminggu bagi membantu siasatan kes bunuh kedua-dua mangsa yang merupakan abang dan kakak iparnya.
Majistret T. Kavita membenarkan suspek berusia 61 tahun itu direman sehingga 12 Mac depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada Selasa, media melaporkan pasangan suami isteri berusia 74 tahun, ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan kebun sawit dekat Pantai Remis.
Siasatan dijalankan mendapati, telah berlaku pertengkaran antara kedua-dua mangsa dengan seorang lelaki sebelum kejadian.
Menurut Mohamed Nordin, pertengkaran dikatakan berpunca daripada perebutan harta tanah kebun.