IPOH: Penarafan sijil MS ISO 9001:2015 Sistem Pengurusan Kualiti dan pentauliahan membuktikan kesiapsiagaan Yayasan Perak ke arah pelan transformasi serta penjenamaan semula.
Sekali gus meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan kepada Yayasan Perak.
Menurut kenyataan, Yayasan Perak berjaya memperoleh penarafan sijil tersebut di samping para pegawainya ditauliahkan sebagai Change Management Specialist.
“Sijil penarafan MS ISO disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Platinum Shauffmantz Veritas Sdn. Bhd, Mohamed Shariff Abu Bakar.
“Manakala pentauliahan pegawai Yayasan Perak disampaikan oleh Ketua Pengarah Eksekutif Opulence
Alliance Sdn. Bhd. Norbiatul Adawiyah Mohd Nor kepada Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan selaku Pengurus Besar Yayasan Perak.
“Ia disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Yayasan Perak,” katanya pada Ahad.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Katanya, penarafan dan pentauliahan itu membuktikan kemampuan yayasan dalam menerajui pembangunan modal insan yang unggul, dinamik dan bertaraf global ke arah kesejahteraan Negeri Perak menjelang 2030.
Saarani berkata, ia juga mencerminkan kredibiliti Yayasan Perak sebagai sebuah agensi yang efisien dan mempunyai tatakelola yang baik serta teratur.
“Harapan saya Yayasan Perak menjadi sebuah agensi badan berkanun yang dipercayai dan telus dalam melaksanakan amanah.
“Khususnya melibatkan peruntukan dan sumbangan sama ada daripada kerajaan negeri atau agensi lain,” katanya.
Bagi mengekalkan pensijilan MS ISO 9001:2015, Yayasan Perak akan terus komited dalam usaha memastikan sistem pengurusan kualiti akan sentiasa dipantau dan ditambahbaik.
Selain itu, kompetensi pegawai-pegawai akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Tambahnya, Yayasan Perak akan terus berusaha mengenal pasti ruang dan peluang penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan.