Pekerja kilang papan cedera jatuh dalam silo

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Seorang pekerja lelaki sebuah kilang papan di sini cedera setelah dipercayai terjatuh ke dalam tempat memproses habuk kayu (silo) dengan kedalaman 3 meter.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.07 pagi.

Justeru itu, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput digerak atur ke lokasi kejadian.

“Seorang lelaki berusia 60 tahun telah terjatuh ke dalam silo ketika membuat kerja pembersihan.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, mangsa dilaporkan terbenam separuh badan di dalam habuk kayu dan berada dalam keadaan sedar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Beliau menambah, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengarahkan anggota mewujudkan ruang pengudaraan dan mengeluarkan habuk kayu di sekitar mangsa.

Selain itu, pasukan bomba turut membuat sistem takal bagi menyelamatkan mangsa.

“Setelah mangsa berjaya dikeluarkan, dia diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan awal dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya.