Pegawai Kesihatan meninggal dunia ketika sertai aktiviti mendaki Bukit Larut

Berita Perak

TAIPING: Seorang Pegawai Kesihatan meninggal dunia ketika menyertai aktiviti mendaki di Bukit Larut, di sini, hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Saharim Saudi, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketika kejadian, mangsa menyertai aktiviti itu bersama-sama 40 kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Kangsar dan 83 kakitangan PKD Larut Matang dan Selama yang dijadualkan berlangsung antara jam 10 pagi hingga 1 tengahari.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.40 pagi.

Menurutnya, pemanggil berkenaan
melaporkan terdapat seorang lelaki berumur 50 tahun di Bukit Larut mengalami sesak nafas ketika berada di check point 4, pada ketinggian tiga kilometer dari kaki bukit.

“Anggota operasi menaiki kenderaan pacuan empat roda milik Bukit Larut Resort ke check point 3 seterusnya berjalan kaki ke lokasi mangsa berhampiran check point 4,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, setibanya dilokasi, didapati mangsa telah diberi rawatan oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan yang turut sama menyertai aktiviti tersebut.

Menurut Sabarodzi, kerja-kerja membawa turun mangsa dijalankan dengan bantuan pihak KKM, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Shahrul Nizam Murad tamat jam 1.31 petang.