PDRM Perak pertingkat keselamatan 16 IPD, 107 balai seluruh negeri

Berita Perak

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak mempertingkatkan keselamatan di semua 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 107 balai seluruh negeri susulan kejadian serangan Balai Polis Ulu Tiram di Johor pada 17 Mei lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya juga mula menambah anggota yang bertugas selepas jam 10 malam, untuk memperketatkan lagi langkah keselamatan.

Menurutnya, aspek logistik juga turut dipertingkatkan, khususnya dari segi pencahayaan di pintu-pintu masuk dan kekukuhan pagar setiap IPD serta balai polis.

“Logistiknya bermakna pencahayaan sebelah malam dan keselamatan pagar-pagar, kita akan lihat dan tentukan tidak ada yang rosak dan sebagainya.

“Kita juga kita akan menambah kekuatan keanggotaan dan petugas sebelah malam jika perlu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, Ketua Jabatan Logistik IPK Perak telah diarah membuat pemeriksaan di setiap balai untuk melihat aspek pencahayaan dan membaiki pagar-pagar yang rosak.

Beliau berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam usaha untuk memastikan keselamatan ketenteraman awam dapat dipelihara dan dipertingkatkan daripada masa ke semasa.

Pada 17 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengarahkan semua pegawai dan anggota polis memperketatkan kawalan di semua balai polis di seluruh negara susulan insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram.

Dalam kejadian 2.45 pagi tadi tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.

Dalam insiden sekitar jam 2.30 pagi Jumaat itu, dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 dan Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said, 24,
maut akibat ditetak dan ditembak oleh seorang lelaki bertopeng.

Seorang lagi anggota polis turut mengalami kecederaan manakala suspek ditembak mati.