PATI jual mangga asam boi di lebuh raya WCE antara ditahan Imigresen Perak

Berita Perak

IPOH: Pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh yang menjual mangga asam boi dekat Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), antara ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak.

Menurut Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, pihaknya melaksanakan Ops Selera, Ops Dandan, Ops Jaja, Ops Sapu, Ops Kutip dan Ops Gegar pada Khamis yang berakhir Jumaat pagi.

Katanya, sebanyak 15 premis kediaman, perniagaan, hotel dan refleksologi termasuk tepi jalan raya di sekitar daerah Kinta, Perak Tengah, Hilir Perak serta Bagan Datuk telah diperiksa.

“Operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Ipoh dan Unit Penguatkuasa Pejabat Imigresen Teluk Intan bermula 9 pagi pada 18 Julai dan tamat 3.30 pagi Jumaat.

“Serbuan dibuat berdasarkan aduan, pemantauan serta risikan yang dijalankan Unit Risikan dan Operasi JIM Perak di premis tersebut.

“Seramai 40 Pegawai Imigresen terbabit dalam pemeriksaan yang dijalankan ke atas 63
orang yang berada di premis berkenaan.

“Didapati seramai 26 warga asing terdiri daripada 11 warganegara Indonesia, Myanmar (6), Bangladesh (3), India (3), Thailand (2) dan Sri Lanka (1), berusia antara 18 hingga 49 tahun ditahan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, katanya, semua warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Ipoh dan Langkap bagi tujuan siasatan.

“Tindakan lanjut mengikut proses undang-undang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.

“Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu telah tinggal/berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang dikeluarkan,” katanya lagi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan di atas maklumat yang diberikan orang ramai.

Selain berharap masyarakat membuat laporan atau aduan bagi membantu JIM membanteras kehadiran PATI dan aktiviti kurang bermoral warga asing dalam negara.