Mydin Manjoi Terbakar

Berita Perak

IPOH: Pasar raya Mydin di Manjoi, Ipoh terbakar dalam kejadian pada petang Ahad.

Suasana bertukar kecoh apabila pengunjung dan kakitangan serta peniaga premis berkenaan terpaksa mengosongkan bangunan tersebut dalam keadaan cemas.

Kebakaran dikatakan bermula di tingkat dua premis perniagaan berkenaan sekitar jam 6.45 petang tadi.

Kejadian disedari orang ramai selepas bekalan elektrik terputus diikuti bunyi loceng penggera kebakaran.

Menurut maklumat awal kira-kira 40 pekerja dengan lebih 200 pengunjung berada di dalam pasar raya Mydin Manjoi berkenaan bagi membuat persiapan akhir persekolahan dan menyambut Ramadan.

Kesemua pekerja dan pengunjung sempat mengosongkan premis sebelum api mula marak di tingkat dua bangunan yang menempatkan seksyen pakaian, barangan elektrik dan keperluan harian.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan.

Sehingga jam 11 malam, belum ada tanda-tanda kebakaran dapat dikawal.

Sekitar jam 10.35 malam sebahagian struktur dinding tingkat atas bangunan pasar raya itu runtuh

Bagaimanapun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihak bomba masih bertungkus lumus untuk mengawal dan memadamkan kebakaran.

Suasana sekitar Pasar Raya Mydin Manjoi umpama pesta apabila orang ramai datang untuk melihat sendiri satu-satunya pasar raya besar di Manjoi terbakar.

Pihak polis terpaksa menutup jalan masuk ke pasar raya itu untuk memastikan keselamatan terjaga.

Berita lanjut menyusul