MIED bantu pelajar India B40 dari 10 Parlimen sambung pengajian IPT

Berita Perak

IPOH: Sejumlah RM436,930 diperuntuk oleh Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) entiti milik MIC kepada 12 orang pelajar India dari Perak.

Ia sebagai bantuan bagi para pelajar berkelayakan dalam kalangan B40 yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Menurut Presiden MIC Tan Sri M Ramasamy, wang itu akan diagihkan kepada para pelajar berkenaan dalam bentuk pinjaman dan geran pendidikan.

Beliau menambah, pelajar yang terpilih bagi siri pertama itu membabitkan 10 Parlimen iaitu Bagan Datuk, Teluk Intan, Batu Gajah, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Tambun, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Bukit Gantang dan Taiping.

“Pelajar yang menerima bantuan terdiri daripada golongan B40 dan telah disaring dengan teliti untuk memastikan mereka benar-benar layak dan memerlukan.

“Setiap pelajar menerima jumlah yang berbeza mengikut peringkat pengajian, sama ada diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana atau Doktor Falsafah (PhD) antara RM10,000 hingga RM100,000,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MIC Perak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media berhubung penyampaian cek pinjaman dan geran pendidikan MIED kepada pelajar di Perak di Pejabat MIC Perak pada Ahad.

Ujarnya lagi, lebih RM200 juta diperuntuk MIED sejak inisiatif itu bermula pada tahun 1984.