Media perlu main peranan, tidak sensasi isu 3R: DAP Perak

Berita Perak

IPOH: DAP Perak berharap pengamal media di negara ini dapat mengelak dari membuat pelaporan yang mensensasikan perkara 3R iaitu perkauman, agama dan institusi diraja.

Pengerusinya, Nga Kor Ming walaupun isu sedemikian meraih perhatian, tetapi jika dilaporkan secara berlebihan akan merugikan masyarakat berbilang kaum, terutama dalam usaha kerajaan membina semula negara.

Menurutnya, persepsi rakyat sebenarnya banyak terpengaruh dalam tangan media.

“Jadi marilah kita beristiqamah untuk lenyapkan isu-isu 3R yang merugikan negara.

“Isu 3R apabila dimainkan hanya menguntungkan segelintir parasit dan ulat politik yang bertuankan nafsu dan kuasa, tetapi akhir yang menanggung kerugian adalah rakyat sendiri tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DAP bersama Media Perak di Warung Theater @ Cathay di sini, malam tadi.

Hadir sama, Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, media sebagai tonggak demokrasi keempat selepas legislatif, eksekutif dan judisiari memainkan peranan sangat penting sebagai semak dan imbang dalam pembangunan negara.

Katanya, apatah lagi dalam tempoh tiga tahun
bermula 2024 hingga 2026 ini merupakan tahun kritikal untuk Malaysia bangkit sebagai sebuah negara disegani antaranya menerusi usaha meningkatkan kedudukan fiskal negara yang memfokuskan sistem saraan baru penjawat awam, pencen dan subsidi bersasar.

Ujarnya, Oktober tahun depan pula menyaksikan Malaysia mengambil alih daripada Laos sebagai Pengerusi ASEAN dan disusuli Tahun Melawat Malaysia pada 2026.

“Ini adalah peluang keemasan kita mengembalikan Malaysia sebagai negara dihormati oleh warga dunia.

“Oleh kerana ketiga-tiga tahun ini membawa makna amat signifikan, kerajaan memerlukan kerjasama semua warga media dalam membentuk persepsi masyarakat.

“Tidak kira aliran media dalam talian atau konvensional, kita perlu sama-sama memainkan peranan pastikan Malaysia bangkit semula,” katanya.

Dalam majlis itu, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM20,000 diberikan kepada Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) bagi pelaksanaan aktiviti.