KUALA KURAU : Bot Ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau telah berjaya menahan sebuah kapal korek pasir yang disyaki telah melakukan operasi mengorek pasir di lokasi atau kawasan yang tidak dibenarkan selain beroperasi di luar waktu yang dibenarkan semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, bot terbabit dikesan oleh pasukan bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.
Menurutnya, ketika dikesan, kapal korek terbabit sedang melakukan operasi pengambilan pasir laut di luar waktu yang ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, master yang merupakan warganegara Indonesia telah gagal kemukakan dokumen kebenaran melakukan aktiviti terbabit serta tiada insuran kapal.
“Jika disabit kesalahan kapal boleh dikenakan denda bermula RM100,000 hingga RM500,000,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambahnya, kapal korek pasir tersebut mempunyai 21 orang kru yang terdiri daripada 15 orang warga China, 5 orang warga Indonesia dan seorang warga tempatan.
Kes kemudiannya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat di Zon Maritim Kuala Kurau kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pelantar Benua 1966 dan Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance) MSO 1952.
Maritim Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia supaya memastikan kapal dan bot yang berada di perairan Negara terjamin dan mematuhi undang-undang.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat dan aduan berkaitan jenayah dan kesalahan maritim, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 05- 7279919 atau MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.