Maritim Perak rampas 57 set bubu naga di dua lokasi

Berita Perak

LUMUT: Sebanyak 57 set bubu naga atau bubu kamban (China Prawn Net Trap) dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Perak di dua kedudukan berbeza, dekat sini pada Isnin.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, ia dirampas di sekitar 3 batu dan 0.2 batu nautika dekat Pulau Talang.

Katanya, bubu itu dikesan sepasukan bot ronda Maritim Perak ketika melaksanakan rondaan dengan penemuan bendera serta pelampung yang diikat pada pancang kayu mencurigakan di dua lokasi terbabit.

“Bendera serta pelampung yang mencurigakan itu kemudian dirapati oleh pasukan bot ronda untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati bendera serta pelampung yang diikat pada pancang kayu berkenaan merupakan penanda kepada bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai hampir RM4,000 itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya pada Selasa.

Mohamad Shukri berkata, sekiranya didapati bersalah, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Selain itu, jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Modus operandi yang sering digunakan oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini ialah dengan memasang bendera serta pelampung yang diikat pada pancang kayu untuk dijadikan penanda kepada lokasi bubu naga berkenaan dipasang,” katanya.

Justeru, katanya, orang ramai khususnya komuniti maritim diseru supaya terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.