Majoriti kanak-kanak ada kaitan GISBH di Perak telah dituntut keluarga

Berita Perak

IPOH: Majoriti kanak-kanak yang ada kaitan dengan Global Ikhwan Services & Business Berhad Holdings (GISBH) di Perak telah dituntut oleh keluarga masing-masing.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, hanya segelintir yang masih ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberi maklumat terperinci kerana menurutnya siasatan masih dijalankan.

“Apa juga tindakan yang kita lakukan di JKM, semuanya kita mengikut apa yang telah pihak PDRM lakukan, siasatan dan sebagainya.

“Jadi, proses-proses itu masih berlaku, ada yang telah dituntut, ada yang belum dituntutlah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Sejahtera Warga Emas Negeri Perak 2024 di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, peranan JKM adalah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, untuk melindungi kanak-kanak melalui siasatan yang dibuat.

Menurutnya, setakat ini bilangan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global di Perak, kekal 55 orang.

Pada Ahad, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, seramai 136 kanak-kanak GISBH yang masih belum dituntut keluarga ditempatkan di sembilan institusi JKM seluruh negara.

Sementara itu, mengulas mengenai penemuan bayi lelaki di dalam semak berhampiran sebuah surau di Kampung Permatang, dekat Sitiawan, pada Sabtu, Salbiah berkata, bayi itu masih dirawat di Hospital Seri Manjung.

“Siasatan kita serahkan kepada pihak polis, apa kes yang berlaku, kenapa berlaku pembuangan itu berlaku tetapi di pihak kita JKM, kita harus beri perlindungan, kita daftarkan bayi tersebut dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk sijil kelahiran,” ujarnya.

Selepas bayi itu sihat, katanya, pihak JKM akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menempatkannya di pusat jagaan jabatan berkenaan.

Pada Ahad, media melaporkan seorang bayi lelaki cukup sifat ditemukan di kawasan semak belakang sebuah surau di Kampung Permatang dekat Sitiawan pada Sabtu.

Tangisan bayi itu didengari oleh seorang ahli jawatankuasa surau yang membersihkan kawasan itu sebelum menghubungi polis pada jam 6.54 petang.