Lori tangki diesel musnah terbakar, pemandu cedera

Berita Perak

BAGAN SERAI: Seorang lelaki cedera setelah lori tangki simpanan diesel yang dipandunya musnah terbakar di Loji Air Gunung Semanggol, di sini hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mangsa berusia dalam lingkungan 40-an itu cedera di bahagian kaki.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.54 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai dibantu Pasukan Bomba Sukarela Alor Pongsu dan Lembah Beriah ke lokasi.

“Sebuah lori tangki simpanan diesel dan lapan unit tong drum penyimpanan diesel musnah terbakar 90 peratus.

“Seorang mangsa iaitu pemandu cedera di bahagian kaki akibat terkena kebakaran dan telah dihantar ke hospital oleh majikan sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

“Komander operasi menggunakan dua aliran hose reel dan 1 aliran 100 kaki 1 pancutan sehingga api padam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Muhammad Khalid Mohd Idris itu membabitkan seramai tujuh orang anggota dan tamat pada 12.59 tengah hari.