Lelaki warga Pakistan maut, kereta terbabas langgar pokok sawit

Berita Perak

BATU GAJAH: Seorang lelaki warga Pakistan maut setelah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya dipercayai terbabas lalu melanggar sebatang pokok sawit di Jalan Kampung Bali, di sini hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, akibat daripada pelanggaran itu, kenderaan dinaiki mangsa berusia dalam lingkungan 54 tahun itu telah berpusing.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.58 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar ke lokasi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang hadir di lokasi kejadian.

“Ketua operasi menggunakan ‘hydraulic cutter’ bagi membuka pintu kereta yang terkunci.

“Anggota bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan pengusung dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada Isnin.

Operasi itu membabitkan seramai 10 orang anggota bomba dan tamat jam 10.50 pagi.