Lelaki warga emas lemas ketika cari ikan di Bidor

Berita Perak

BIDOR: Seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun maut setelah lemas ketika dipercayai melakukan aktiviti mencari ikan dekat Jambatan Jalan Menderang, Kampung Buntong Sungkai, di sini pada Sabtu.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Ishak Safie.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.43 tengah hari.

“Semasa sampai di tempat kejadian, mangsa telah diselamatkan oleh tiga orang penduduk kampung dan dibawa ke tebing bagi pertolongan cemas.

“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian diarahkan oleh komander operasi membuat resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan maut oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Operasi tersebut dianggotai oleh seramai enam orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor serta tamat sepenuhnya jam 2.56 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.