Lelaki maut terkena renjatan elektrik, dipercayai cuba curi kabel

Berita Perak

IPOH: Lelaki maut terkena renjatan elektrik, dipercayai ketika cuba mencuri kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Silibin Ria, berhampiran stesen Petronas Jalan Ipoh – Lumut, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 6.07 petang.

Menurutnya, terdapat saksi awam yang melihat dan membuat rakaman video di tempat kejadian, menunjukkan si mati bersama seorang lagi suspek yang masih bebas, sedang memotong kabel TNB, dipercayai untuk mencuri.

“Secara tiba-tiba kabel tersebut meletup mengakibatkan kedua-dua mereka pengsan.

“Seorang lagi suspek yang masih bebas kemudiannya bangun dan melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Honda C100,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Abang Zainal Abidin berkata, pihak TNB telah membuat satu laporan polis mengenai kecurian tersebut dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, siasatan awal pihak polis juga mendapati si mati mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah kekerasan dan harta benda.

Justeru, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Liyana Zulaikah Ibrahim di IPD Ipoh melalui talian 019-7765184 atau Sarjan M.T Michael Jevadas di Balai Polis Taman Rishah di talian 016-5325208 bagi membantu siasatan.