Lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing di lombong, ditemukan maut

Berita Perak

PASIR SALAK: Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika memancing di Lombong Air Kuning, Chenderong Kelubi, Kampung Gajah, di sini semalam, ditemukan maut pada Jumaat.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mangsa yang maut dikenali sebagai Ngah Azman Anjang Baharuddin, 55.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada Khamis jam 3.10 petang.

“Operasi mencari diteruskan pada hari kedua dengan membabitkan anggota dari Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah serta dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Teluk Intan dan Pulau Pangkor.

“Pasukan bertugas melakukan pencarian menggunakan bot penyelamat dengan teknik surface searching manakala PPDA melakukan selaman pada satu lokasi terakhir mangsa lemas.

“Pada jam 12.06 tengah hari PPDA berjaya menemui mayat mangsa semasa membuat selaman di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

Operasi yang membabitkan seramai 15 orang anggota bomba serta agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu tamat jam 12.30 tengah hari.