IPOH: Polis berjaya memberkas seorang lelaki selepas dia menyamun sebuah farmasi di Taiping malam tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, kira-kira jam 10.27 malam tadi, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita mengenai kejadian samun dalam premis farmasi melibatkan suspek bersenjatakan sebilah pisau.
Menurutnya, mangsa berumur 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu farmasi telah diacu pisau dan dipaksa mengeluarkan wang tunai di dalam mesin kaunter.
“Akibat ketakutan dan bimbang keselamatan diri, mangsa telah menyerahkan wang tunai RM300 kepada suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sebagsi polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Taiping telah menjalankn risikan dan maklumat terhadap suspek.
“Hasil tindakan pantas, suspek, seorang lelaki berumur 20 tahun telah berjaya ditangkap dalam tempoh kurang empat jam selepas laporan polis diterima,” ujarnya.
Menurutnya, lelaki itu diberkas bersama sebilah pisau dan baki wang tunai hasil samun yang masih belum sempat digunakan.
Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan samun dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Mohamad Nasir berkata, suspek direman selama enam hari bermula 15 hingga 20 Disember.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan keselamatan diri dan harta benda bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.