GERIK: Seorang lelaki warga emas cedera setelah lori membawa muatan kayu getah yang dipandunya terbabas ke dalam gaung setinggi kira-kira 100 kaki dekat Kampung Orang Asli Jalan Gerik Kupang di sini hari ini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mangsa berusia 60 tahun berjaya keluar dengan sendiri dari kenderaan tersebut.
Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 1.53 tengah hari dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik tiba di lokasi pada 2.18 petang.
Beliau berkata, mangsa memandu lori tiga tan jenis Mitsubishi Canter.
“Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan Konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja menyelamat.
“Mangsa turut diberi rawatan awal dan dibawa naik menggunakan pengusung.
“Dia kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Sabarodzi berkata, operasi itu membabitkan seramai 11 orang anggota dan selesai pada 3.20 petang.



