Lebih 1,000 ahli keluarga Dukut Halijah Imam Awang berkumpul sempena Aidilfitri

Berita Perak

IPOH: Lebih 1,200 ahli keluarga keturunan Dukut Halijah Imam Awang berkumpul di Kampung Kepayang Fair Park, di sini, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Dukut Halijah Imam Awang adalah individu yang dikatakan membuka kampung berkenaan sejak tujuh generasi lalu.

Salah seorang ahli keluarga itu ialah bekas Menteri Besar Perak yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan generasi kelima.

Ahmad Faizal berkata, mereka berkumpul saban tahun untuk merapatkan silaturrahim antara keluarga mereka, yang semakin besar dan jauh.

“Walaupun hari ini tidak lah seramai seperti dulu-dulu kerana majoriti generasi keempat yang menjadi tunggak, telah meninggal dunia.

“Hari ini ada kalangan yang berada jauh di perantauan seperti di negara-negara jiran, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya ketika ditemui di majlis itu.

Menurutnya, beliau dan beberapa ahli keluarga lain akan meneruskan tradisi itu yang mula dibuat secara besar-besaran sekitar tahun 90-an untuk memastikan hubungan kekeluargaan tidak terputus.

“Keluarga ini semakin membesar sehingga ada yang tidak mengenali antara satu sama lain, malah ada yang bekerja satu pejabat pun tidak sedar mereka adalah dari keluarga sama.

“Jadi, insya Allah kami akan berusaha untuk memastikan majlis seperti ini akan diadakan di masa-masa akan datang,” ujarnya.