Kursus lawatan rumah ibadat bukan Islam: JAIPk diarah beri penjelasan, elak fitnah

Berita Perak

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diarah membuat penjelasan bagi membetulkan kekeliruan yang timbul susulan kursus lawatan anjurannya di sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

Ia termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang peserta kursus berkenaan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Perak, JAIPk perlu mengkaji semula modul kursus berkenaan bagi mengelakkan fitnah dan salah faham.

Sehingga menjejaskan nama baik dan kredibilitinya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam.

“Kerajaan negeri mengambil berat polemik yang timbul berikutan penyebaran sebuah klip video mengenai kursus lawatan anjuran JAIPk di sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

“Polemik tersebut menimbulkan pelbagai kekeliruan, salah faham dan persepsi negatif terutamanya dalam kalangan umat Islam sehingga menjejaskan reputasi dan nama baik kerajaan negeri serta pihak berkuasa agama Islam termasuk JAIPk.

“Sehubungan itu, ditegaskan kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip maqasid syariah dalam melindungi kesucian dan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pentadbiran ini telah memanggil satu mesyuarat khas pagi ini yang dihadiri Jabatan Mufti Negeri Perak, JAIPk dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi membincangkan isu berkenaan,” ujar kenyataan itu pada Jumaat.

Katanya, hasil daripada mesyuarat berkenaan dan setelah diangkat sembah serta mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, beberapa ketetapan telah dibuat bagi menangani isu tersebut.

“JAIPk diminta supaya mendapatkan pandangan Jabatan Mufti Perak terlebih dahulu sebelum menganjurkan program seumpama itu pada masa hadapan.

“Selain berunding bagi menggunakan modul, kaedah atau pendekatan yang lebih sesuai.

“Kerajaan negeri mahu semua pihak terutamanya ketua-ketua jabatan mengambil iktibar daripada isu tersebut.

“Di samping lebih berhati-hati memastikan tiada kenyataan dalam sosial media yang dibuat tanpa pemantauan, apatah lagi jika menyentuh sensitiviti agama,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri meminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan serta ketegangan.

Bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, tetapi juga dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini.