Konsert Amal Gendang Pati@UPSI sumbangan sosial M. Nasir

Berita Perak

IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menjadi tumpuan peminat sifu muzik, Datuk M. Nasir untuk menikmati lagu-lagunya yang berkonsepkan instrumen gendang.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, peminat penyanyi tersohor tanah air itu akan menikmati lebih 16 lagu dalam masa hampir dua jam sempena Konsert Gendang Pati yang bakal berlangsung pada 17 Januari depan.

Menurutnya, konsert di Dewan Tuanku Cancelor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, adalah julung kali diadakan sebagai sumbangan sosial M. Nasir kepada UPSI dan tanda penghargaan atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-26 UPSI tahun lalu.

“Konsert ini menekankan kepada komitmen tokoh seni itu untuk menyumbang kepada dunia pendidikan dan seni di Malaysia yang tidak boleh dipisahkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam konsert itu, M. Nasir akan melantunkan lagu-lagu yang mengangkat namanya dipersada muzik tanah air seperti Pawana, Phoenic Bangkit, Tanya Sama Itu Hud-hud, Langgam Pak Dogol, Melawan Arus dan Kias Fansuri.

Katanya, persembahan yang diiringi kumpulan muzik Gong yang diketuai Pengarah Muzik, Aznan Alias itu turut menyampaikan lagu
Sentuhan Listrikmu, Dah Lagu Tu, Rajawali Terbang Tinggi, Yang Bertakhta Akhirnya, Suatu Masa dan Raikan Cinta.

Md Amin berkata, empat lagu pula dinyanyikan secara medley iaitu Sahabat Gua, Semerah Padi, Inang Bujang dan Dara serta Inang Pulau Kenchana manakala kumpulan de Vokalis dari UPSI akan menyampaikan lagu Mustika.

Bagaimanapun, katanya, dua lagu setakat ini masih menjadi rahsia kecuali bagi yang menghadiri sendiri konsert.

Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Prof. Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani pula berkata, UPSI komited memperkasakan seni, budaya dan warisan negara melalui pelbagai inisiatif akademik.

Menurutnya, kegiatan kreatif seperti Konsert Gendang Pati adalah sebagai usaha berterusan universiti dalam menjadikan seni sebagai wadah ilmu, inspirasi dan perpaduan masyarakat.

Konsert ini, katanya, bakal mengubat kerinduan peminat dengan deretan karya agungnya yang merentasi generasi dan membentuk landskap muzik tempatan selama lebih empat dekad.

“Konsert istimewa ini dijangka membawa penonton mengembara melalui perjalanan seni Dato'(Dr) M. Nasir yang penuh makna menerusi persembahan live band, dan suasana nostalgik yang bakal membangkitkan kenangan,” ujarnya.

Selain persembahan utama, acara itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk persembahan busking, jualan cenderamata eksklusif, dan macam-macam lagi di sekitar Dewan Tuanku Canselor.

Para peminat juga digalakkan untuk mengikuti kemaskini terkini, video teaser, serta pengumuman rasmi melalui akaun media sosial UPSI di TikTok, Instagram dan Facebook.

Peminat Datuk M. Nasir masih boleh menempah tiket menerusi
https://t2u.asia/e/46312.