KD Lekir duta kecil negara di India: Tingkat diplomasi pertahanan, siap siaga

Berita Perak

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), melalui KD Lekir terus memperkasa diplomasi pertahanan negara menerusi penyertaan dalam eksesais multilateral dan bilateral di Visakhapatnam, India.

Eksesais itu bermula dari 18 Februari hingga 2 Mac dan selamat tiba di Tambatan Pangkalan Lumut pada 7 Mac.

Menurut Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, KD Lekir telah menyertai Eksesais MILAN 2024, iaitu eksesais multilateral terbesar dianjurkan oleh Tentera Laut India (TLI), dari 18 hingga 27 Februari.

“Eksesais yang menghimpunkan pelbagai aset permukaan dan pesawat dari 47 negara itu memperlihatkan komitmen bersama dalam menangani cabaran maritim di rantau ini.

“Melalui pertukaran pengalaman dan latihan bersama, penglibatan KD Lekir ini secara tidak langsung memperkuat diplomasi pertahanan bersama negara yang terlibat di samping memupuk kesefahaman dan memperluas kebolehoperasian antara pelbagai angkatan laut,” katanya pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, KD Lekir seterusnya melaksanakan Eksesais Samudra Laksamana, eksesais bilateral bersama TLI dari 28 Februari hingga 2 Mac.

Ia bertujuan memperkukuh hubungan dua hala yang penting antara kedua-dua negara.

“Samudra Laksamana tidak hanya meningkatkan kepercayaan antara dua negara malah mengiktiraf status TLDM sebagai rakan kongsi yang berwibawa.

“Pertukaran maklumat dan amalan baik antara dua angkatan laut juga meningkatkan kebolehoperasian antara TLDM-TLI dan kompetensi warga dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi cabaran serantau,” katanya.

Selain itu, katanya, penyertaan KD Lekir dalam dua eksesais itu membuktikan penglibatan TLDM dalam mendukung tonggak strategik pertahanan negara melalui aktiviti diplomasi pertahanan.

“Dengan keterlibatan KD LEKIR dalam ekseais multilateral dan bilateral, Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam mengekalkan keselamatan serantau.

“Di samping memperkukuh jaringan diplomasi pertahanannya. Manfaat dari penglibatan ini tidak hanya terbatas kepada peningkatan diplomasi pertahanan, malah menguntungkan TLDM dari aspek kesiapsiagaan aset dan memperkukuh kompetensi warganya,” katanya lagi.