Jual ayam RM6 seekor sempena Jualan Rahmah Aidilfitri

Berita Perak

IPOH: Bagi meringankan beban kewangan rakyat, khususnya golongan B40 menyambut Hari Raya, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) menganjurkan Jualan Rahmah Aidilfitri pada Jumaat dan Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya berkata, sebanyak 24 ekor lembu, 3,600 ekor ayam dan 4,000 papan telor ayam disediakan dengan harga lebih murah daripada harga pasaran.

Menurutnya, seekor ayam dijual pada harga RM6 seekor, daging RM32 sekilo dan telur sepapan RM10.

Selain itu, katanya, Perak SADC turut menyediakan kedai bergerak yang menjual barangan keperluan lain seperti beras, gula, tepong dan minyak masak pada harga subsidi.

“Kita nampak permintaan untuk jualan murah ni banyak, orang kata kenapa tidak buat jualan murah masa Aidilfitri.

“Kita dah buat jualan murah bukan Aidilfitri bersama Yayasan Bina Upaya dan kita rasa ada permintaan untuk Hari Raya ni, itu sebab kita buat dan sambutan sangat baik lah.

“Kita harap, apa yang kita buat ini dapat membantu rakyat, terutamanya golongan B40 supaya mereka dapat bekalan barang yang pada harga yang sangat berpatutan pada mereka,” katanya.

Ibu pejabat Perak SADC di sini menjadi tumpuan orang ramai menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi mendapatkan ayam segar berharga RM6 seekor.

Seawal jam 8 pagi, orang ramai yang sudah membuat tempahan awal sudah menunggu mendapatkan barangan keperluan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Pada program tersebut turut diadakan Rewang Ramadan Kakitangan Perak SADC yang menyaksikan warga kerja perbadanan berkenaan bergotong-royong menyiapkan juadah berbuka puasa tambahan dan rendang daging.

Pada 19 Mac lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyempurnakan Pelancaran Pra-pesanan Jualan Rahmah Aidilfitri Perak SADC.