JIM Perak tahan 11 GRO sembunyi di bilik rahsia pusat hiburan

Berita Perak

IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak melaksanakan operasi penguatkuasaan di sebuah premis pusat hiburan di sini dalam ‘OPS GEGAR’ bermula jam 11.30 malam Ahad hingga 1.30 pagi tadi.

Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata,
serbuan dibuat berdasarkan aduan, pemantauan dan risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi JIM Perak di premis tersebut.

Menurutnya, dengan kekuatan seramai 38 orang pegawai, pemeriksaan telah dijalankan ke atas 32 orang warga negara asing yang berada di premis hiburan tersebut.

“Pemeriksaan mendapati seramai 11 orang warga negara asing terdiri sembilan orang perempuan warganegara Thailand dan dua orang perempuan warga negara China yang berusia antara 21 hingga 37 tahun ditahan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang.

Jelasnya, mereka dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu telah tinggal / berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang telah dikeluarkan.

“JIM Perak amat berterima kasih atas maklumat yang diberikan oleh orang ramai dan berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu kami membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin dan aktiviti kurang bermoral warga asing dalam negara ini,” ujarnya.

Katanya, JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi PATI termasuk pendakwaan di mahkamah.