Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi selamat dikebumikan di Bidor

Berita Perak

TAPAH: Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang meninggal dunia dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi Jumaat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 7.20 malam Sabtu.

Terdahulu, jenazah tiba dari Johor Bharu ke rumahnya di Kampung Poh kira-kira jam 6 petang, diiringi ayahnya, Azhar Khaiden dan ibunya, Nurhaliza Awaluddin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri turut hadir menyambut jenazah untuk memberi penghormatan.

Sebaik tiba, jenazah kemudiannya disolatkan sekali lagi, yang diimamkan oleh ayahnya sendiri.

Disebabkan kehadiran lebih 500 orang, solat jenazah dilakukan dua kumpulan lagi yang diimamkan oleh Sarjan Mejar Mohd Khadari Hassanudin dan imam kampung sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Majlis pengkebumian di tanah perkuburan berlangsung penuh acara pengkebumian keperwiraan Polis Diraja Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara, menyerahkan Jalur Gemilang kepada ayah Allahyarham sebagai penghormatan negara kepadanya dan keluarga.

Bacaan talkin kemudiannya disempurnakan bapa saudara Allahyarham, Tajarudin Hassan

Hampir 1,000 orang, termasuk ahli keluarga, pegawai dan anggota polis serta penduduk kampung, mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi.