IPOH: Jelajah Nyalaan Bara Api Bersama Cikgu Saarani sebelum ini telah berjaya mencapai matlamatnya dengan menghimpunkan seramai 6,000 pelajar Tingkatan 5.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang merangkap Pengerusi Yayasan Perak, program motivasi itu membabitkan dua kumpulan iaitu potensi lulus dan cemerlang.
Katanya, kesemua mereka akan menduduki peperiksaan SPM 2024 bagi 12 daerah di seluruh Perak.
“Sebanyak 24 slot merangkumi dua sesi bagi setiap daerah dalam tempoh masa sebulan diadakan dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Program Nyalaan Bara Api ini diinspirasikan ketika melalui zaman persekolahan sukar dan serba kekurangan.
“Saya dapat buktikan tiada yang dapat menghalang seseorang itu untuk berjaya selagi dalam diri setiap manusia ini ada segenggam bara yang perlu dinyalakan.
“Ia bagi membakar semangat setiap insan untuk terus berjuang walau apa sahaja rintangan yang datang dalam kehidupan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Yayasan Perak telah melaksanakan majlis apresiasi bersempena program tersebut dan Penyerahan Watikah YP Smart Target SPM di Casuarina Convention Centre Meru, di sini baru-baru ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Saarani.
Dalam pada itu, Yayasan Perak telah memilih 50 pelajar SPM yang cemerlang straight A+ dari seluruh Perak.
Pemilihan calon ini dibuat berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan SPM 2024 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di bawah Sektor Pembelajaran.
Kesemua murid telah mengikuti sesi motivasi khas pada sebelah pagi bersama pakar motivasi terkemuka, Tengku Ismadi Tengku Mohamad.
“Para pelajar ini telah dilantik sebagai Duta Harapan SPM 2024.
“Seramai 25 guru pakar pula dipilih dan dilantik sebagai Mentor Duta Harapan khas kepada 50 orang murid tersebut,” katanya.
Penganjuran program motivasi dan pelantikan watikah itu diharap dapat meningkatkan
semangat dan memberikan keyakinan kepada calon SPM 2024.
Sekali gus membantu dalam mendapatkan keputusan yang cemerlang.
Katanya lagi, Yayasan Perak akan sentiasa menjalinkan kerjasama erat bersama JPN dan PPD selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam usaha untuk meningkatkan prestasi dan memperkasa pendidikan di Perak.