‘Jangan paksa saya pasang CCTV dalam lift PPR’ – Kor Ming

Berita Perak

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia memasang kamera litar tertutup (CCTV) jika perbuatan vandalisma seperti kencing dan membuang sampah di dalam lift projek Program Perumahan Rakyat (PPR) masih berlaku.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, untuk tahun lalu dan tahun ini sahaja, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk menaik taraf lift PPR di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama penghuni PPR untuk bersama-sama menjaga lift dengan baik di samping membayar yuran penyelenggaraan.

“Penduduk kena buat dua perkara, pertama elakkan vandalisma, sayangkan semua yang kita pasang, jangan rosakkan, jangan kencing dalam lift, jangan buang sampah dalam lift, jangan paksa saya pasang cctv dalam lift.

“Itu pernah berlaku pada 1970an di Singapura, apabila Mendiang Lee Kuan Yew (bekas Perdana Menteri) mendapati ada orang kencing dalam lift.

“Jadi kerajaan Singapura dipaksa untuk memasang CCTV dalam lift,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan jalan utama Bandar Seri Botani, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, yuran penyelenggaraan sangat penting bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat kerja-kerja senggaraan yang telah ditetapkan.

Menurutnya, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan PBT tidak dapat membuat penyelenggaraan yang akhirnya menyusahkan penghuni sendiri.