Ipoh International Run kembali selepas tujuh tahun terhenti

Berita Perak

IPOH: Selepas tujuh tahun terhenti, Ipoh Internasional Run (IIR) kembali dengan beberapa kelainan sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kali
terakhir IIR dianjurkan adalah pada tahun 2017.

Menurutnya, ia tidak dilaksanakan pada 2018, bagi memberi laluan kepada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

“Namun pada tahun-tahun yang berikutnya IIR tidak dapat dilaksanakan disebabkan kekangan wabak COVID19 yang melanda negara.

“Tahun 2024 merupakan ‘comeback’ bagi Ipoh International Run,” katanya kepada pemberita selepas pra pelancaran IIR 2024 di Bangunan MBI di sini, hari ini.

Menurutnya, penganjuran IIR kali ini akan diadakan di Stadium Indera Mulia pada 28 Julai dengan 15 kategori akan dipertandingkan yang melibatkan jarak 21, 10 dan 5 kilometer.

Menurutnya, IIR 2024 menyasarkan 5,000 penyertaan dari dalam dan luar negara.

Katanya, pendaftaran telah dibuka sejak 11 Mac lalu dan setakat semalam, jumlah penyertaan terkini adalah sebanyak 1,611.

Tambahnya, daripada jumlah itu, 35 penyertaan adalah dari luar negara melibatkan pelari dari China, Singapore, Netherland dan Brunei.

“Antara kelainan tahun ini ialah kita akan memberi air kelapa muda kepada pelari, sebagai ganti kepada minuman isotik,” ujarnya.

Mohd Rumaizi yakin, IIR 2024 mampu menarik ramai pelancong ke Perak, sekaligus membantu mencapai sasaran empat juta pelancong ke Ipoh, termasuk sejuta pelancong asing.

IIR kali ini turut melantik dua duta untuk memeriahkan lagi penganjuran iaitu Samson Vellabouy dan Loo Kum Zee.

Keseluruhan hadiah wang tunai melibatkan sejumlah RM14,800.00 dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman web Howei, Raceroster dan juga Checkpoint Spot.