Insiden kepala air di Bidor, mayat kanak-kanak lelaki 4 tahun ditemui

Berita Perak

TAPAH: Seorang lagi mangsa tragedi kepala air di di Sungai Kampung Poh, Bidor, petang Rabu, ditemui kira-kira pukul 9.45 malam tadi.

Dengan penemuan itu bermakna dua mangsa telah ditemui manakala dua lagi kanak-kanak masih hilang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mayat kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun itu dijumpai orang awam bersama pasukan penyelamat kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Sayani berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan sementara pada pukul 7 malam ini.

Operasi akan sambung kira-kira pukul 7.30 pagi Khamis.

Bagaimanapun, katanya, pencarian secara berkala diteruskan secara giliran.

Dua ekor anjing pengesan dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga telah sampai ke lokasi untuk membantu operasi pencarian mangsa.

Pos Kawalan Bomba (PKB) serta pos kawalan agensi lain seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela telah dibina di Sekolah Kampung Poh.