ILCD ke 71 rai Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia

Berita Perak

IPOH: Program Ipoh Low Carbon Day (ILCD) kali ke 71 edisi bulan Jun ini, menjadikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia sebagai tema penganjuran.

Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pelaksanaan acara bulanan kali ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur.

Katanya, penganjuran ILCD kali ke 71 itu lebih meriah dengan mendapat kerjasama daripada Sekolah Kebangsaan SK Cator Avenue apabila pelbagai aktiviti dianjurkan bagi mengisi aturcara program.

Antara program yang dianjurkan adalah Pertandingan Merentas Desa sejauh lima kilometer dengan penglibatan seramai 700 orang, berumur 5 tahun ke atas, pertandingan mewarna terbuka kepada semua dari umur 6 tahun hingga 9 tahun dan cabutan bertuah.

Terdahulu, bagi acara pelepasan acara merentas desa dan pertandingan mewarna telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan Kewangan Saidatul Akma Jamaludin, yang mewakli Datuk Bandar Ipoh.

Hadir sama pada program berkenaan Pengarah Perancang Bandar, TPr. Mohd. Zainal Abdul Hamid; Guru Besar SK Cator Avenue, Azman Tahir dan YDP PIBG SK Cator Avenue, Abdul Salim Putera Ahmad Shibi.

Penganjuran kali ini turut menampilkan kelainan apabila sebanyak tujuh buah khemah yang dibuka telah mempamerkan kucing-kucing comel menerusi penganjuran program Oyen And The Geng.

Selain pameran kucing, pengunjung juga boleh mengambil kucing untuk dipelihara dan boleh membawa kucing-kucing jagaan mereka untuk ‘penicure manicure’.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang membeli atau mendapatkan khidmat nasihat tentang penjagaan kucing dari khemah-khemah yang disediakan.

Seperti penganjuran ILCD sebelum ini, penglibatan agensi kerajaan dan swasta turut mendapat sokongan amat menggalakkan apabila pelbagai pameran diadakan.

Antara agensi yang terlibat National Stroke Association of Malaysia (NASAM) yang memberi nasihat dan menyediakan program pemulihan kepada mangsa stroke, MIZU Paints Industries yang memperkenalkan jenis cat mesra alam, Akademik Pembangunan Belia Malaysia (APBM), Good Shepherd Service dan My Meta World.

Program pada bulan ini telah dihadiri lebih 2,500 orang dan acara tamat pada jam 10 pagi.