Hutan seluas 10 ekar, lalang terbakar di Gerik

Berita Perak

GERIK: Lalang di bahu jalan serta hutan di bukit setinggi 700 meter dengan anggaran keluasan 10 ekar terbakar berdekatan hentian rehat dan rawat (R&R) Bintang Hijau Sungai Rui, di sini pada Jumaat.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, panggilan kecemasan diterima berhubung kejadian itu pada 12.27 tengah hari.

Katanya, seramai 13 anggota yang terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dengan dibantu lori tangki air BBP Pengkalan Hulu dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan lalang di tepi jalan dan hutan di bukit setinggi 700 meter anggaran keluasan 10 ekar.

“Kebakaran dapat dikawal dan hanya sisa kecil api di atas bukit.

“Ketua operasi melaksanakan size up dan mengarahkan anggota membuat pemadaman dengan menggunakan pancutan air dari lori tangki air, serta menggunakan pam racun dan pemerap api,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah Sabarodzi, operasi memadam api kemudianya ditangguhkan pada 7 malam dan akan disambung semula esok, Sabtu.

“Bagaimanapun, operasi pemantauan oleh anggota di lokasi masih diteruskan bagi memastikan keadaan selamat dan tiada kemerebakan,” katanya.