Hospital Pantai Ipoh, Lions Club sumbang 32 komputer diperbaharui ke 3 sekolah

Berita Perak

IPOH: Hospital Pantai Ipoh dengan kerjasama Lions Club of Perak Silver State menyumbang 32 unit komputer yang diperbaharui kepada tiga sekolah terpilih di negeri ini, baru-baru ini.

Menurut Presiden kelab itu, Dr Richard Ng, jumlah keseluruhan sumbangan itu bernilai RM65,000.

Katanya, tiga sekolah itu ialah SK Raja Chulan di Taman Cempaka di sini, SK Methodist di Tanjung Rambutan dan SJKC Chung Hwa di Parit.

“Penyampaian gimik dijalankan semasa majlis makan malam amal anjuran pihak Lions Club of Perak Silver State.

“Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ipoh, Chong Siet Fong, telah membuat penyampaian gimik kepada guru besar sekolah berkenaan.

“Komputer tersebut kemudiannya dihantar ke sekolah masing-masing oleh sepasukan kakitangan Jabatan IT Hospital Pantai Ipoh.

“Semua komputer dilengkapi sambungan internet bagi membolehkan pelajar memperoleh lebih banyak maklumat dan pengetahuan,” katanya.

Richard yang juga Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Pantai Ipoh berkata, komputer yang diperbaharui menyumbang kepada ekonomi kitaran kerana ia mengurangkan penggunaan sumber semula jadi yang diperlukan dalam komputer baharu.

Selain itu, ia mengurangkan sisa elektronik di planet ini untuk memperjuangkan inisiatif kelestarian.

“Ia menghapuskan keperluan untuk pembuatan tambahan, mengurangkan jejak karbon yang dikaitkan dengan pengeluaran peranti baharu.

“Dengan memilih komputer yang diperbaharui, kami mengalihkan elektronik daripada tapak pelupusan sampah dan meminimumkan bahaya alam sekitar yang berkaitan dengan pelupusan yang tidak betul,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Hospital Pantai Ipoh kerana memilih untuk bekerjasama dengan kelabnya.

“Projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bertepatan dengan empat projek kelab iaitu melindungi alam sekitar, pendidikan, pembangunan belia dan kebudayaan.

“Program ini memberi manfaat kepada pelajar untuk membolehkan mereka mendapat akses kepada pembelajaran dalam talian yang komprehensif.

“Selain membina kemahiran digital dan mempunyai akses kepada sokongan dan sumber dalam talian,” katanya lagi.