IPOH: Hilang sabar kerana dikongkong dipercayai menjadi punca seorang lelaki menumbuk emak saudaranya berkali-kali sebelum mengurungnya dalam sebuah bilik.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, akibat tumbukan, wanita berusia 54 tahun itu terjatuh tangga dan pengsan.
“Sebagaimana kenyataan semalam, dia ni dikongkong oleh si mati dan dia dah hilang sabar, dan dia melepaskan geram dia dengan menumbuk si mati berkali-kali hingga terjatuh di tangga.
“Disebabkan itu mungkin dia pengsan dan dikurung disimpan di satu bilik selama empat hari walaupun telah dicari oleh adik dia (mangsa) dan suspek mengatakan dia ni berkurung di bilik saja tapi setelah terhidu bau busuk baru adik dia tu tu membuat laporan lah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa dan suspek tinggal serumah berdua dan kejadian tumbuk itu dipercayai berlaku empat hari lalu.
Terdahulu, media melaporkan polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh ibu saudaranya di sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang, Pasir Puteh, pada Ahad.
Mangsa berusia 54 tahun ditemukan dalam keadaan hampir reput dan membusuk dalam sebuah bilik di rumah tersebut.
Suspek yang diberkas pada Ahad direman lima hari sehingga 15 November depan, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.