Empat nelayan warga Myanmar, bot ditahan

Berita Perak

LUMUT: Sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 bersama empat nelayan warga asing ditahan di kedudukan 4.3 batu nautika barat daya muara Sungai Rungkup pada petang Sabtu lalu.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, bot tersebut dikesan sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan operasi bot Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati ia dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 29 hingga 30 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot tersebut beroperasi kurang dari lapan batu nautika dari daratan.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu beroperasi kurang dari lapan batu nautika dari daratan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamad Shukri berkata, kesemua nelayan ditahan manakala bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dirampas, seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Selain itu, dalam kejadian berasingan, Maritim Perak turut merampas 30 set bubu naga atau bubu kambang (China Prawn Net Trap) di kedudukan sekitar 2.9 batu nautika dari barat daya Pulau Talang, Ahad lalu.

“Bubu berukuran lebih kurang 10 meter panjang setiap satu yang dipasang secara berangkai ini dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia.

“Tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda mengesahkan bubu naga ini dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Beliau berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.