Dua pekerja warga Bangladesh maut, nahas treler, lori di Lebuhraya PLUS

Berita Perak

KAMPAR: Dua kalendan lori maut selepas lori yang mereka naiki terlibat dalam nahas di Kilometer 307.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan dekat sini, pagi ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Azizul Haque, 26 dan Ahmed Shakil, 29, disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu lori yang dinaiki kedua-dua mangsa, Mohd Umar Abdul Rahman, 36, turut mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, kira-kira jam 7.05 pagi, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan maut melibatkan sebuah treler yang membawa kontena dengan sebuah lori bonded.

“Hasil siasatan ditempat kejadian, terdapat dua kenderaan terlibat berada di lorong kiri hala selatan pada jarak kira-kira 6.8 meter.

“Kedua-dua mayat mangsa berada di atas lorong kecemasan sebelah kiri hala ke selatan dalam keadaan ditutup dengan kain putih,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat pemandu treler, ketika kejadian, treler sedang berhenti kerana kenderaan-kenderaan dihadapannya berhenti.

Mohamad Nazri berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Menurutnya, kemalangan turut menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas selama 40 minit dan punca kemalangan masih disiasat.

Katanya, dua-du kenderaan ditahan untuk pemeriksaan Puspakom dan polis juga sedang mengesan saksi bebas di samping membuat ujian saringan terhadap pemandu treler.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.