TAPAH: Dua beranak rentung dalam kemalangan membababitkan dua treler di kilometer (km) KM 331.8 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang maut merupakan pemandu dan kelindan treler muatan pasir.
Katanya lagi, pemandu lelaki itu berusia dalam lingkungan 40 tahun dan anak lelakinya merupakan kelindan dalam usia 20-an.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.46 pagi tadi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dan Bidor ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan sebuah treler muatan pasir yang berlanggar bahagian belakang sebuah treler muatan kapas.
“Maklumat dari ketua operasi terdapat seorang mangsa ditemui mati terbakar iaitu pemandu treler muatan pasir.
“Manakala seorang lagi mangsa iaitu anak pemandu ditemui tersepit di bawah kepala treler dan didapati mati terbakar dan telah berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat,” katanya pada Selasa.








