IPOH: Perayaan Deepavali yang akan disambut 31 Oktober ini dimeriahkan lagi dengan pertandingan menghias kolam rangoli (kolam berwarna-warni) di Klinik Kesihatan Greentown, di sini.
Rangoli bermaksud seni lantai yang dihasilkan dengan menggunakan beras berwarna.
Menurut Ketua Klinik Kesihatan Greentown, Dr. Amilia Hazreena Hamidon, uniknya, pertandingan itu membabitkan staf klinik kesihatan tersebut yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Beliau yang juga juri pertandingan tersebut berkata, sebanyak 11 unit dari Klinik Kesihatan Greentown mengambil bahagian menghias kolam berwarna-warni.
Ia bertujuan memeriahkan suasana, menghilangkan stres serta mengeratkan perpaduan sesama kaum.
“Dalam kalangan staf seramai 200 orang, 11 unit yang terbabit merangkumi Farmasi, Pentadbiran, Ibu dan Anak, Makmal, Klinik Penyakit Tidak Berjangkit dan banyak lagi.
“Mereka nampak sangat gembira, kita mahu eratkan perpaduan dan kerjasama antara staf yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Selain mahu menaikkan semangat para staf dan pesakit di sini, kerana kolam rangoli ini merupakan satu seni yang melibatkan warna-warni dan indah.
“Proses menghias kolam ini juga memerlukan kerjasama erat antara peserta, paling penting ia dilakukan selepas waktu berkerja dan tidak menjejaskan perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya yang merangkap Pakar Perunding Perubatan Keluarga.
Tambah Dr. Amilia Hazreena, pertandingan tersebut juga julung julung kali dianjurkan, memandangkan sebelum ini hanya membabitkan dekorasi bagi Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, staf yang terlibat turut menyambut baik usaha dilakukan dan berharap ia diteruskan untuk tahun mendatang.
Juruteknologi Makmal Perubatan, M.D Theeba berkata aktiviti tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan stres dalam bekerja.
“Ramai kawan dari pelbagai bangsa terbabit dalam pertandingan ini, ia dapat mengeratkan hubungan sesama kami dan menguatkan perpaduan, memang rasa kemeriahan Deepavali,” katanya.
Pegawai Farmasi, Sherdila Baizura pula teruja kerana pertama kali menyertai pertandingan sebegitu.
“Banyak juga saya belajar daripada rakan bangsa India bagaimana hendak buat warna dan sebagainya. Kami bertungkus lumus untuk siapkan, dalam masa sama gembira,” katanya.
Sementara itu, Pembantu Perawatan Kesihatan, Alinaramdiah Mohamed Shoaip pula berharap lebih banyak pertandingan dianjurkan untuk perayaan lain di tahun berikutnya.
“Setelah penat bekerja, kami berkumpul di sini dan siapkan seni lantai ini, kita dapat lihat ramai yang teruja bila nampak hasilnya yang cantik, sekali gus ceriakan kawasan di klinik ini,” katanya.