Dakwaan sita haiwan dalam kandang: Kolej adu lembu kerbau masuk kolej- PBT

Berita Perak

KAMPAR: Majlis Daerah Kampar (MDKpr) menafikan tuduhan bahawa pihaknya menangkap dan mencuri haiwan ternakan penternak yang berada dalam kandang.

Sebaliknya Yang Dipertuanya, Ahmad Suqairy Alias berkata, tangkapan tersebut dilakukan di kawasan Kolej Tunku Abdul Rahman, Bandar Baru Kampar.

“Bahagian Penguatkuasaan Majlis Daerah Kampar telah mengadakan operasi haiwan merayau pada 23 April jam 12 malam di Kawasan Kolej Tunku Abdul Rahman, Bandar Baru Kampar.

“Operasi ini susulan daripada beberapa siri aduan dari pengurusan Kolej Tunku Abdul Rahman berkaitan haiwan merayau iaitu lembu dan kerbau yang memasuki kawasan kolej tersebut.

“Ketika operasi itu, sebanyak dua ekor kerbau berjaya ditangkap oleh Bahagian Penguatkuasaan, Majlis Daerah Kampar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Justeru, katanya, MDKpr akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang dilaksanakan oleh pihak polis.

“Tuduhan kepada pihak majlis yang mengatakan tangkapan dilakukan di dalam kandang pemilik dan dicuri adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap haiwan merayau bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kesejahteraan penduduk Kampar amnya.

Pada Isnin, media melaporkan sekumpulan penternak lembu dan kerbau mempersoal prosedur operasi tangkapan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas mendakwa haiwan ternakan mereka yang berada dalam kandang dan kawasan persendirian turut disita.