Dakapan Kasih dedah ibu bapa baharu prosedur daftar lahir

Berita Perak

MANJUNG: Program Dakapan Kasih yang berlangsung di Hospital Seri Manjung bertujuan membantu ibu bapa baharu dengan memberi pendedahan dan penerangan prosedur daftar lahir.

Ia dianjurkan sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara yang ke-76 tahun.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Perak, Asuat Ahmad.

Selain itu ia turut mendapat kerjasama Yayasan Perak dan Hospital Seri Manjung.

“Program ini merupakan usaha
prihatin Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Perak dan kerajaan negeri.

“Ia khusus membantu ibu bapa baharu dengan memberi pendedahan dan penerangan prosedur daftar lahir serta bantuan khas yang diberikan oleh Yayasan Perak.

“Selain penyerahan cenderahati, JPN juga memberi khidmat nasihat berkaitan pendaftaran kelahiran kepada ibu bapa yang terlibat.

“Yayasan Perak pula menyerahkan hamper barangan bayi dan baucar Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN) kepada bayi yang dilahirkan pada 1 Oktober 2024,” kata Asuat pada Rabu.

Hadir sama, Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan dan Pengarah Hospital Seri Manjung, Dr. Nordin Nasir.

Program Dakapan Kasih yang diadakan bersempena sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) disambut setiap 1 Oktober.

Ia merupakan program ziarah berimpak tinggi dan bertepatan dengan slogan Rakyat di Hati JPN.

HPN yang disambut pada Oktober setiap tahun bertujuan menghargai rekod dan dokumen yang didaftar sebagai
identiti dan pengenalan diri di Malaysia.

Antara aktiviti yang akan diadakan di Perak ialah Program Dakapan Kasih yang meraikan bayi lahir pada 1 Oktober 2024.

Program kerohanian: Bacaan Yaasin Perdana JPN Perak, Program Jelajah MEKAR JPN bersempena HPN 2024 ke lokasi pilihan di Perak serta The Explore Race JPN.