TAIPING: Pesawah di seluruh negara diminta segera mendaftar di bawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) agar mereka mendapat pampasan sekiranya tananan mereka musnah atau rosak disebabkan bencana, seperti banjir yang berlaku sekarang.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, buat masa ini, bilangan yang telah mendaftar masih terlalu rendah.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk dua musim pertama secara percuma.
“Saya menyeru petani dan pesawah untuk pergi ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Jabatan Pertanian dan Agro Bank untuk mendaftar mencarum.
“Caruman dua kali ini dibiayai kerajaan sebanyak RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) baru-baru ini.
“Selepas itu kita nilai balik, sama ada kita terus atau sama ada petani teruskan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau projek tanaman bawang merah di Pusat Koreksional Kamunting, di sini, hari ini.
Menurutnya, bayaran ganti rugi di bawah skim takaful yang diperkenalkan itu lebih tinggi berbanding bantuan bencana biasa yang dihadkan kepada tiga ekar.
Katanya, ia sekaligus dapat mengurangkan kerugian pesawah dan meringankan beban kewangan mereka.
Media melaporkan STTP yang dilancarkan oleh Agrobank menjadi skim takaful patuh syariah pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara, diperkenalkan selaras dengan Belanjawan 2024.
STTP terbuka kepada semua pesawah individu yang berdaftar dengan agensi yang diiktiraf oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.