MANJUNG: Polis telah merakam keterangan tiga saksi berhubung kes pasangan suami isteri ditemui mati di kawasan kebun sawit dekat Pantai Remis, Manjung, Perak pada Selasa.
Tiga saksi itu antaranya isteri dan anak saudara suspek.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, polis turut merampas sabit pengait sawit, yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kes tersebut.
“Masa sepasukan anggota polis kita sampai kita lihat dua orang, seorang wanita dan seorang lelaki berada di tempat kejadian dalam keadaan luka parah.
“Suspek berlegar-legar di kawasan di situlah dan kita terus buat penahanan pada dia,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, di sini, pada Rabu.
Menurut Mohamed Nordin, pihak polis masih lagi meneruskan siasatan dan memohon mana-mana saksi yang dapat membantu siasatan untuk tampil membantu dengan menghubungi pegawai penyiasat ASP Ashazarul Khairi Ab Hamid di talian 012-5087026.
Menurutnya, punca kematian masih belum diketahui kerana proses bedah siasat masih dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Terdahulu, suspek, seorang lelaki warga emas direman seminggu bagi membantu siasatan kes bunuh abang dan kakak iparnya yang ditemui mati di kawasan kebun sawit dekat Pantai Remis.
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 61 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Seri Manjung, pada Rabu.
Majistret T. Kavita membenarkan suspek direman sehingga 12 Mac depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada Selasa, media melaporkan pasangan suami isteri, kedua-duanya berusia 74 tahun, ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan kebun sawit dekat Pantai Remis.
Mohamed Nordin berkata, siasatan dijalankan mendapati, telah berlaku pertengkaran antara kedua-dua mangsa dengan seorang lelaki sebelum kejadian.
Menurutnya, pertengkaran bersama lelaki yang merupakan adik kepada suami itu dikatakan berpunca daripada perebutan harta tanah kebun.