Bot dilanggar kapal kargo, empat nelayan Indonesia diselamatkan, satu masih hilang

Berita Perak

LUMUT: Empat nelayan warga Indonesia berjaya diselamatkan setelah bot yang dinaiki mereka dipercayai dilanggar sebuah kapal kargo ketika hujan lebat dan angin kencang pada Khamis lalu.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, kesemua mangsa terlebih dahulu diselamatkan oleh kapal kargo CMA CGM RIVOLI, sekitar 7 malam hari sama.

Jelasnya, tiga mangsa dikenali sebagai Muhamad Solihin, 53, Dady Shahputra, 39, dan Asri, 44, berada dalam keadaan selamat, manakala Jampur, 53, cedera di tangan, rusuk dan kaki kanan akibat terkena serpihan kaca.

Katanya, pada Jumaat, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak telah menerima maklumat daripada MRSC Langkawi dan mengatur gerak KM Malawali ke lokasi pada jarak 4.1 batu nautika dari barat pulau Jarak, bagi mengambil kesemua mangsa dari kapal kargo itu.

“APMM telah memberi bantuan kepada empat nelayan itu yang diselamatkan oleh kapal kargo tersebut.

“Terdahulu, empat nelayan itu ditemui dalam keadaan terapung berpaut pada serpihan kayu dan tong ikan selepas bot mereka dilanggar sebuah kapal kargo disyaki bernama MOL.

“Hasil maklumat daripada kesemua mangsa, seorang lagi kru bot yang dikenali sebagai Abdul Malek, 56, dipercayai masih hilang.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Mohamad Shukri berkata, kesemua nelayan tersebut berasal dari Medan, Indonesia dan telah diserahkan kepada Maritim Negeri Perak bagi tindakan lanjut.