Bomba keluarkan lelaki meninggal dunia dalam rumah terkunci

Berita Perak

TAIPING: Pasukan bomba terpaksa membuka pintu sebuah rumah terkunci bagi mengeluarkan seorang lelaki berusia 45 tahun yang meninggal dunia di Jalan Aulong, Kampung Boyan di sini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, panggilan kecemasa diterima pada jam 1.42 tengah hari pada Isnin.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping tiba di lokasi pada 1.55 tengah hari.

“Terdapat seorang mangsa lelaki berbangsa India ditemui meninggal dunia di dalam rumah yang berkunci.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu tersebut dengan disaksikan pihak polis.

“Mayat itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.