Bomba berjaya pujuk lelaki cuba terjun Sungai Perak

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Pasukan bomba berjaya memujuk seorang lelaki berusia 27 tahun daripada cubaan membunuh diri dengan terjun ke Sungai Perak.

Kejadian itu berlaku di jeti berdekatan padang kawad Sungai Perak, di sini sekitar jam 3.13 petang.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, seramai enam orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi.

“Jentera sampai ke lokasi kejadian dan didapati terdapat seorang lelaki sedang berada di dalam pondok berdekatan tepi Sungai Perak untuk cubaan membunuh diri.

“Dimaklumkan lelaki itu berada di pondok tersebut dalam keadaan agresif dan ingin terjun ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menambah, Komander Operasi kemudiannya membuat size up dan mengarahkan anggota mengawal situasi di lokasi kejadian.
“Seterusnya anggota melaksanakan kerja memujuk mangsa supaya tidak melakukan cubaan bunuh diri.

“Mangsa berada dalam keadaan yang agresif dan bergerak ke padang kawad,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, tidak lama kemudian mangsa berjaya dipujuk dan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai PBK II Mohd Saiful Haniff Mahmad Ayub itu tamat pada jam 4.19 petang.