IPOH: Bazar Ramadan terpanjang di Perak bakal kembali bagi tahun ketiga dengan 121 lot perniagaan di Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS), Meru Raya, di sini.
Bazar sepanjang 500 meter itu dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) yang akan beroperasi sepanjang Ramadan bermula jam 4 petang hingga 12.30 tengah malam.
Menurut Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, ia dijangka menerima pengunjung seramai 120,000 orang berbanding 70,000 pada tahun lalu.
Selain itu, katanya, pelbagai penambahbaikan dibuat bagi keselesaan pengunjung termasuk lampu solar dan kemudahan parkir lebih banyak.
“Bazar Ramadan @ BSAS menawarkan platform penting bagi usahawan kecil dan sederhana (PKS) menjana pendapatan, khususnya di bulan Ramadan.
“Keputusan untuk meningkatkan bilangan lot di bazar mencerminkan komitmen PKNPk dalam menyokong pertumbuhan PKS yang merupakan tulang belakang ekonomi tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut mengambil maklum isu yang diutarakan para pengunjung tahun lalu berhubung kesesakan lalu lintas serta bilangan parkir kenderaan.
“Tahun ini, PKNPk menyediakan parkir kenderaan tambahan sebanyak 500 lot yang terletak bersebelahan Menara A dan Menara B PKNPk, serta sekitar Rumah Tradisional Melayu.
“Bagi pengunjung yang meletakkan kenderaan di BSAS, caj RM1 dikenakan pada hari biasa dan RM2 pada hujung minggu,” katanya.
Sementara itu, katanya, surau dan tempat wuduk yang selesa bagi lelaki dan wanita turut disediakan.
Ia boleh memuatkan seramai 40 jemaah dalam satu-satu masa.
“Kita turut merancang untuk menganjurkan solat tarawih mega dan sedang berbincang dengan Jabatan Agama Islam Negeri Perak berhubung perkara itu,” katanya lagi.
Tambahnya, PKNPk telah memperuntukkan sebanyak RM970,000 bagi memasang 75 unit lampu solar di BSAS.
Ia katanya bagi membolehkan para pengunjung berbuka puasa bersama keluarga sambil menikmati panorama Banjaran Titiwangsa dan Kledang Saiong.
Ujarnya lagi, bazar itu bukan sekadar tempat untuk berbelanja tetapi juga mampu menjadi ruang bagi penduduk tempatan berkumpul, berinteraksi dan meraikan bulan Ramadan.







