Bantuan Khas Kewangan Raya RM1,000 untuk penjawat awam Perak

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri Perak bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Raya RM1,000 untuk semua penjawat awam Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan itu termasuk guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian.

Menurutnya, buat julung kalinya juga, bantuan khas ini turut dipanjangkan kepada semua 996 ketua kampung di seluruh negeri.
 

“Bantuan ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM8.8 juta dan akan memanfaatkan seramai 8,804 penerima,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pejawat awam negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di sini, malam ini.

 
Beliau berkata, bantuan adalah tanda apresiasi dan penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri yang merupakan nadi penggerak kerajaan atas komitmen serta dedikasi yang dicurahkan dalam memikul tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Mudah-mudahan bantuan yang diberikan sedikit sebanyak ini dapat membantu tuan-tuan membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” ujarnya.